Omar Salleh (dua dari kiri) melihat keputusan, dari kanan Mohd. Sayuti Fakri, Muhammad Arif Amirudin dan Muhd. Taqiuddin Abdul Rahman selepas mereka memperoleh keputusan STAM 2015 di KISAS, Klang, semalam.
KLANG 21 Jan. – Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di sini muncul sekolah terbaik bagi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri ini buat kali ke-14 berturut-turut.
Kejayaan tersebut turut disumbangkan oleh tiga pelajarnya yang memperoleh Mumtaz Sofi.
Pengetuanya, Omar Salleh berkata, kejayaan mendapat Mumtaz Sofi adalah hasil komitmen guru yang sanggup mengorbankan masa bagi mendidik para pelajar.
“Sekolah ini juga bertuah kerana mempunyai guru-guru yang berpengalaman dan arif dalam subjek-subjek yang diajar,” katanya selepas mengumumkan keputusan STAM 2015 sekolah berkenaan di sini hari ini.
Yang hadir sama calon cemerlang yang mendapat Mumtaz Sofi iaitu Mohd. Sayuti Fakri, Muhammad Arif Amirudin dan Muhd. Taqiuddin Abdul Rahman.
Omar menambah, Gred Purata Sekolah (GPS) juga meningkat dari 2.05 tahun lalu kepada 1.87 tahun ini.
Sementara itu, menurut Mohd. Sayuti, kejayaan mendapat keputusan Mumtaz Sofi iaitu semua 10 subjek mendapat Mumtaz adalah di luar dugaan.
“Kejayaan ini adalah berkat usaha guru-guru yang mengorbankan masa mereka mengajar kami tanpa mengira waktu dan penat lelah.
“Saya berhasrat menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir jika berpeluang dan jika tidak, akan ke universiti tempatan sahaja,” ujarnya.
Beliau menambah, resipi kejayaannya adalah sentiasa ingat kepada Allah dan selalu membantu guru.
p/s : Pencapaian warga KISAS yang cemerlang ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan dana tambahan daripada PIBG. Diharapkan Makan Malam Amal KISAS 2016 dapat memenuhi objektif nya :)